Gurindam Poksu
(i)
sekian ini lamanya sudah
kau Melayu
menimba bara dalam perlumbaan
memburu mimpi
meniti pelangi angan-angan
dengan memenggal kesantunan peradaban
warisan keramat zaman berzaman.
sekian ini lamanya sudah
kau Melayu
menarah bukit bukau
meratakan gunung ganang
menara khazanah bumimu
pusaka keramat anugerah tuhanmu
yang diamanahkan kesejahteraannya
dalam jagaanmu.
(ii)
sekian ini lamanya sudah
engkau sendirian
meredah belantara kealpaan bangsamu
tidurmu bertilamkan onak
mimpimu bertatahkan duri
jagamu mencari muara
kelangsaian rimba sejarah tanahairmu
yang menuntut pemetaan hakiki
kembaramu menjunjung jihad
mencari nur-hidayah
semoga tersuluh keluar
bangsamu yang kian terpilin
dalam simpang siur kesesatan
di mana agamamu dibungkus
bagaikan barang dagangan
berpelekat lebel-lebel teknologi kreatif
para haiwan politik
maestro-maestro buloh perindu
mendodoikan bangsamu
dengan simfoni
ayam menang kampung tergadai
dan bangsamu
rakyat jelata yang melarat melata
menyambut dengan chorus si luncai
"biarkan! biarkan!”
(iii)
Poksuleh
tahulah kau duhai anak Labok keramat
kini kau tidak lagi tersendiri menghirup duri
kini kau tidak lagi tidak dimengerti
selagi sungainya tanah tumpah darah kelahiranmu
tetap terus mengalir ke utara
selagi itulah satu demi satu
demi satu demi satu tanpa henti
kami akan mengerumnimu menjadi armada
bersama kita merentas segara
membelah benua
demi mengembalikan
mertabat bangsa kita
yang kini bukan cuma
sekadar itik kehausan di air
ayam kelaparan di kepuk
malah sebenarnya
adalah lebih hina dan tak bermaya
dari sekandang abdi yang buta
bisu dan tuli
yassinsalleh
Awal Ogos, 2007.
Teratak Wan Fatul
Kampung Mempatih
Lancang, Pahang
Saturday, September 8, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment