Gelora Jiwa Duka Nan Lara
Para Pejuang Hujung Benua
duhai Tok Bongkok Tanjung Puteri
duhai Hang Nadim Satria Riau
Laksamana Bentan Kota Tauhid
pulihkanlah segera
pulihkanlah segera
semangat juang dan daya tempur
para pejuang di hujung benua
yang duka lara diselubung gerhana
didihkanlah darah mereka
kerana titi gantian tambak nan usang
tersirat manfaat strategik impaknya
dengan hanya sekelip mata
hilang bayang dari pandangan
bakarkanlah jiwa mereka
bila gelanggang yang indah perkasa
kilat kilaunya memanah jiwa
kilat kilaunya menggetar dada
indah kabar dari rupanya
belanda bertandang atas undangan
naga menggila atas undangan
pribumi pula kehilangan nama
semarakkanlah tekad mereka
demi saudagar di hujung tanjung
kera di hutan disusu-susukan
ayam di kepok mati kelaparan
itik di air mati kehausan
sorak Pak kadok derai berderai
Pandir sasau dan mondar-mandir
makhota warisan jatuh berderai
bumi pusaka lenyap daulatnya
duhai Tok Bongkok Tanjung Puteri
duhai Hang Nadim Perwira Riau
Laksamana Bentan Kota Tauhid
inikah awal inikah mulanya
kepupusan Bangsa bernama Melayu
inilah awal inikah mulanya
daulat bangsa tekulai layu
inikah awal inikah mulanya
airmata darah melimpah ruah
bumi dipijak
jadi kota si dagang luar
duhai Tok Bongkok Tanjung Puteri
duhai Hang Nadim Perwira Riau
Laksamana Bentan Kota Tauhid
bila dagang datang bertandang
bila naga mula menendang
pribumi kecundang di luar gelanggang
lembing si Awang pulang ke Dayang
pulihkanlah segera perjuangan bangsa
pulihkanlah segera perjuangan bangsa
para pejuang di hujung benua
mahu pulang ke medan tempur
merampas gelanggang kota si dagang
menebus bumi dan tanah ini
walaupun kami
tenggelam
karam
tersungkur
mati
di laut api!
Ruhanie Ahmad
country heights, kajang
22 Mac 2007
Saturday, September 8, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment