Tuesday, February 10, 2009

GENERASI DUA DARJAT

[balasan keempat daripada pantun arca makrifat]

CUCU TOK KEDU:

diri tersadai dek bahasa kurang
pandai bercakap bersama teman
negeri tergadai bangsa terbuang
Islam tetap ke akhir zaman

BULAN:

pandai bercakap bersama teman
mengulas saakan kuat ugama
Islam tetap ke akhir zaman
ikhlas tahankan buat selama-lama

CUCU TOK KEDU:

sejuk berhari mungkin melarat
curah cuka bercampur dakwat
petunjuk diri dah makin keparat
taubat terbuka jangan terlewat

BULAN:

curah cuka bercampur dakwat
kalam hitam seri cuaca malam
taubat terbuka jangan terlewat
dalam diam cari punca dalam

CUCU TOK KEDU:

Datuk Kalimantan Timbalan Menteri
sebagai rakan ke sana ke sini
untuk keselamatan anak negeri
jangan mewahkan isteri dan kroni

BULAN:

sebagai rakan ke sana ke sini
capai mengkasakti gangsa negeri
jangan mewahkan isteri dan kroni
sampai mengkianati bangsa sendiri

CUCU TOK KEDU:

meniti parit pesan melati
mengada-ngada asyik bergumul
pasti perit balasan menanti
kembali pada Islam yang syumul

BULAN:

mengada-ngada asyik bergumul
mangsa keramat gara bendahara
kembali pada Islam yang syumul
bangsa selamat negara terpelihara

CUCU TOK KEDU:

tenunan mas ayu indah sentiasa
dari selemba berhari-hari
ketuanan Melayu mudah binasa
Melayu dihamba bangsa sendiri

BULAN:

dari selemba berhari-hari
terbagi sampin ka inderagiri.
Melayu dihamba bangsa sendiri
selagi pemimpin tak sedar diri

CUCU TOK KEDU:

penat tak larat gelabah kami
semakin lelah debar peparu
laknat keparat rebah ke bumi
terbangunlah era harapan baru

BULAN:

semakin lelah debar peparu
di nurani tabah merayu restu
terbangunlah era harapan baru
berani berubah Melayu bersatu

CUCU TOK KEDU:

meluru silang selang menyelang
sambil meludah di kain basah
baru cemerlang gilang gemilang
pemimpin bermadah rakyat susah

BULAN:

sambil meludah di kain basah
akhir konspirasi mutiara hajat
pemimpin bermadah rakyat susah
lahir generasi antara dua darjat

CUCU TOK KEDU:

jualan gelang desa sewasta
gelang emas rangkai sehasta
amalan hilang dek kuasa bertakhta
Iman lemas dek nafsu berharta

BULAN:

gelang emas rangkai sehasta
hiasan hasrat kehendak cinta
Iman lemas dek nafsu berharta
balasan akhirat berat tak terkata

CUCU TOK KEDU:

benda menusuk jantung syaitan
duduk melukah di dalam kepok
tanda nak masuk Tanjung Rambutan
nak kekalkah lagi di kerusi empok

BULAN:

duduk melukah di dalam kepok
keluar pun di upah di jaga bentok
nak kekalkah lagi di kerusi empok
biar pun di sumpah juga di kutok

CUCU TOK KEDU:

milik dia meski pun bersyarat
sebagai penentu Adam dan Hawa
baik di dunia mahu pun di akhirat
Allah yang satu tempat bertakwa!

BULAN:

sebagai penentu Adam dan Hawa
tudung kalimat sempurna umat
Allah yang satu tempat bertakwa!
Pelindung rahmat bersama hikmat


Kiriman BULAN
8 Februari 2009

[nota: polemik pantun yang bermula daripada pantun saya Arca Makrifat kini kian menarik. Moga-moga polemik ini berpanjangan sehingga boleh diantolojikan. – Ruhanie Ahmad]

No comments: