Wednesday, January 28, 2009

MELAYU DIHAMBA BANGSA SENDIRI

[balasan ketiga kepada pantun arca makrifat]

BULAN:

ukir kerewang menghias peran
diri tersadai dek bahasa kurang
jangan wang jadi ukuran
negeri tergadai bangsa terbuang

CUCU TOK KEDU:

diri tersadai dek bahasa kurang
pandai bercakap bersama teman
negeri tergadai bangsa terbuang
Islam tetap ke akhir zaman

BULAN:

nasi pemimpin dibiar dingin
sejuk berhari mungkin melarat
lenggok perimpin mengikut angin
petunjuk diri dah makin keparat

CUCU TOK KEDU:

sejuk berhari mungkin melarat
curah cuka bercampur dakwat
petunjuk diri dah makin keparat
taubat terbuka jangan terlewat

BULAN:

alas tersadai di pinggir kali
Datuk Kalimatan timbalan menteri
pulau tergadai tebuslah kembali
untuk keselamatan anak negeri

CUCU TOK KEDU:

Datuk Kalimantan Timbalan Menteri
sebagai rakan ke sana ke sini
untuk keselamatan anak negeri
jangan mewahkan isteri dan kroni

BULAN:

pinggir sawah berdepan paya
meniti parit pesan melati
penerima rasuah hina tarafnya
pasti perit balasan menanti

CUCU TOK KEDU:

meniti parit pesan melati
mengada-ngada asyik bergumul
pasti perit balasan menanti
kembali pada Islam yang syumul

BULAN:

panglima perkasa berbaju suasa
tenunan mas ayu indah sentiasa
merosak bahasa runtuhkan bangsa
ketuanan Melayu mudah binasa

CUCU TOK KEDU:

tenunan mas ayu indah sentiasa
dari selemba berhari-hari
ketuanan Melayu mudah binasa
Melayu dihamba bangsa sendiri

BULAN:

cari pingan menantu sahadi
penat tak larat gelabah kami
jari tangan penentu undi
laknat keparat rebah ke bumi

CUCU TOK KEDU:

penat tak larat gelabah kami
semakin lelah debar peparu
laknat keparat rebah ke bumi
terbangunlah era harapan baru

BULAN:

mendung angkasa petir memanah
meluru silang selang menyelang
bila berkuasa tunaikan amanah
baru cermelang gilang gemilang

CUCU TOK KEDU:

meluru silang selang menyelang
sambil meludah di kain basah
baru cemerlang gilang gemilang
pemimpin bermadah rakyat susah

BULAN:

burung bersarang di batu bata
jualan gelang desa sawasta
jerung bersarang mengumpul harta
amalan hilang dek kuasa bertakhta

CUCU TOK KEDU:

jualan gelang desa sewasta
gelang emas rangkai sehasta
amalan hilang dek kuasa bertakhta
Iman lemas dek nafsu berharta

BULAN:

selagi usia dapat bertahan
benda merusok jantung syaitan
mendewakan manusia lebihi Tuhan
tanda nak masuk Tanjong Rambutan

CUCU TOK KEDU:

benda menusuk jantung syaitan
duduk melukah di dalam kepok
tanda nak masuk Tanjung Rambutan,
nak kekalkah lagi di kerusi empok

BULAN:

ditumbuk lumat lepas dibelah
milik dia miskipun bersarat
menjadi umat dilindungi Allah
baik di dunia mahupun akhirat

CUCU TOK KEDU:

milik dia meski pun bersyarat
sebagai penentu Adam dan Hawa
baik di dunia mahu pun di akhirat
Allah yang satu tempat bertakwa!


Kiriman
CUCU TOK KEDU
http://rp-semantan.blogspot.com/
Pahang

Nota: saya teruja dengan polemik pantun yang berbangkit daripada pantun saya arca makrifat. Adakah ini satu perkembangan baru dalam dunia sastera moden? Salam puisi – Ruhanie Ahmad

1 comment:

bulan said...

Dato Ron yang dihurmati.

Menjawab pantun cucu tok kedu yang berasal dari pantun arca makrifat

CUCU TOK KEDU:

diri tersadai dek bahasa kurang
pandai bercakap bersama teman
negeri tergadai bangsa terbuang
Islam tetap ke akhir zaman

BULAN:

pandai bercakap bersama teman
mengulas saakan kuat ugama.
Islam tetap ke akhir zaman
iklas tahankan buat salama-lama.


CUCU TOK KEDU:

sejuk berhari mungkin melarat
curah cuka bercampur dakwat
petunjuk diri dah makin keparat
taubat terbuka jangan terlewat

BULAN:

curah cuka bercampur dakwat
kalam hitam seri cuaca malam.
taubat terbuka jangan terlewat
dalam diam cari punca dalam.


CUCU TOK KEDU:

Datuk Kalimantan Timbalan Menteri
sebagai rakan ke sana ke sini
untuk keselamatan anak negeri
jangan mewahkan isteri dan kroni

BULAN:

sebagai rakan ke sana ke sini
capai mengkasakti gangsa negeri.
jangan mewahkan isteri dan kroni
sampai mengkianati bangsa sendiri.


CUCU TOK KEDU:

meniti parit pesan melati
mengada-ngada asyik bergumul
pasti perit balasan menanti
kembali pada Islam yang syumul

BULAN:

mengada-ngada asyik bergumul
mangsa keramat gara bendahara.
kembali pada Islam yang syumul
bangsa selamat Negara terpelihara.


CUCU TOK KEDU:

tenunan mas ayu indah sentiasa
dari selemba berhari-hari
ketuanan Melayu mudah binasa
Melayu dihamba bangsa sendiri

BULAN:

dari selemba berhari-hari
terbagi sampin ka inderagiri.
Melayu dihamba bangsa sendiri
salagi pemimpin ta sedar diri.


CUCU TOK KEDU:

penat tak larat gelabah kami
semakin lelah debar peparu
laknat keparat rebah ke bumi
terbangunlah era harapan baru

BULAN:

semakin lelah debar peparu
di nurani tabah merayu restu.
terbangunlah era harapan baru
berani berubah,melayu bersatu.


CUCU TOK KEDU:

meluru silang selang menyelang
sambil meludah di kain basah
baru cemerlang gilang gemilang
pemimpin bermadah rakyat susah

BULAN:

sambil meludah di kain basah
akhir konspirasi mutiara hajat.
pemimpin bermadah rakyat susah
lahir generasi antara dua darjat.


CUCU TOK KEDU:

jualan gelang desa sewasta
gelang emas rangkai sehasta
amalan hilang dek kuasa bertakhta
Iman lemas dek nafsu berharta

BULAN:

gelang emas rangkai sehasta
hiasan hasrat kehendak cinta.
Iman lemas dek nafsu berharta
balasan akhirat berat ta terkata.


CUCU TOK KEDU:

benda menusuk jantung syaitan
duduk melukah di dalam kepok
tanda nak masuk Tanjung Rambutan,
nak kekalkah lagi di kerusi empok

BULAN:

duduk melukah di dalam kepok
keluar pun di upah di jaga bentok.
nak kekalkah lagi di kerusi empok
biar pun di sumpah juga di kutok.


CUCU TOK KEDU:

milik dia meski pun bersyarat
sebagai penentu Adam dan Hawa
baik di dunia mahu pun di akhirat
Allah yang satu tempat bertakwa!

BULAN:

sebagai penentu Adam dan Hawa
Tudong kalimat sempurna umat.
Allah yang satu tempat bertakwa!
Pelindong rahmat bersama hikmat.