Friday, November 7, 2008

PUISI ALIF BA TA

Alif Ba Ta
Pak Alif hati buta
diinang budak mentah
sana-sini jaja titah
hisap darah macam lintah
rakyat nerana makan antah

Alif Ba Ta
Pak Alif disihir puaka
hingga dia jatuh cinta
dengan kera Arjuna Tapa
mas kahwinnya aneka rupa
denai hijau di jantung kota
bumi saujana di hujung benua
sebuah pulau warisan purba

Alif Ba Ta
Pak Alif pengkhianat nusa
disanggah dia kosongkan takhta
biar tanahair yang amat tercinta
tidak morat-maret dihimpit derita
akibat mata hatinya yang buta
terhadap negara dan kedaulatannya
terhadap rakyat dan kesejahteraannya

Alif Ba Ta
Pak Alif kena nista
dengan analisis berjuta kata
dalam sejarah bangsa merdeka
kerana dia punya angkara
kita semua kehilangan nama
kita semua kehilangan wajah

Alif Ba Ta
adalah agama
adalah bangsa
adalah tanahair tercinta
yang mesti dipertahan dan mesti dibela
sepanjang hayat sepanjang masa
hingga ke akhir titisan darah
pantang sekali menyerah kalah

Ruhanie Ahmad
6 November 2008

CITERA DUKA KOD 888

Sang Dewa itu amat tenat geringnya
dalam tafakur dia berdengkor
disaksikan mentari yang sedang tersungkur
bersama titisan airmatanya di muka dupa
yang membanjiri haruman setanggi
teman setianya sepanjang hari

Tenat sungguh penyakit Sang Dewa
hari-hari dia mengerecoh
hari-hari dia mengeredo
dia mengelindor di dalam terang
mengimbas kenangan di hujung pandangan
sebuah pulau lesap petanya di hujung mata
selengkar bumi musnah miliknya di depan tangga
sebuah kedaulatan musnah digadai tanpa cagaran
sejambak kasih lesi dan layu
di dasar peti keramat yang hilang hikmahnya

Hari ini Sang Dewa perlukan brain transplant
untuk diperindahkan otaknya
biar dia bangkit dan insaf
betapa seluruh anaknya
bingkas menyanggah wasiat tok ayah
dengan tangisan air mata darah
akibat kecewa dan berputih mata

Ruhanie Ahmad
8 Ogos 2008