Thursday, March 24, 2011

Bertatahkan Post Dated Mock Check

Masa miskin
tujuh orang tidur satu bilik.
Lima anak
tidur satu katil
papan plywood
beralaskan batu bata buangan tapak binaan.

Emak ayah
tidur atas lantai tanah.
Hamparnya kotak.
Dikutip tepi longkang kaki lima kedai.
Lena juga tidur.
Datang juga mimpi.
Bertambah juga anak 3 orang lagi.

Bila dah kaya
pasal apa pula setiap orang
nak tidur dalam 7 bilik.
Kenapa pula
setiap orang nak juga tambah 3 orang bini
Yang betinapun nak tambah 3 ekor laki.

Aduhai,
letihnyalah,
setiap malam 7 kali pindah bilik tidur.
Empat kali menggilir bini, bergilir laki
di atas ranjang
bersalut sutra
bertatahkan post dated mock check.

yassinsalleh
jam 1624. Mach 22. 11.
Ponson, Manchis, Bentong.

Sumber: http://yassinsalleh.blogspot.com/

Friday, March 18, 2011

Menanti Tirai Senja

Remajaku dulu
aku suka sangat mendengar sahabat ku bercakap

Kata-katanya tersusun indah bertamsil beribarat
seringan manapun perkara yang diperkatakannya
terasa berat dan dalam maksudnya

Pada kala tertentu
kedengaran bagaikan pujangga
menggurindamkan kecendekiaan pendita
dia bermadah

Aduhai indahnyalah suasana
bila dia berseloka
senyumannya menambah seri
wajahnya yang amat terampil
dan dia kelihatan amat dignified

Kami sudah lama terpisah
dan dia tidak pernah tahu
bahawa aku banyak berguru darinya

Dia dah macam aku juga
dah tua kini
bagaikan aku jua
dia kini sedang bermain senja sambil menanti
tirai malam membuka pentas AKHIR

Makanya
sebelum bermula citera
pentas AKHIRnya kami
aku rentas Titiwangsa
berlari membawakan nyanyi pilu
sinfoni SEPIku
kepadamu
Abangku, Sifuku
Hashim Zabidi

Dalam perjalananku menuju dakapanmu
kini aku Hashim

yassinsalleh
18 Mac 2011
Merentas Titiwangsa

Dalam Perjalanan Ke Taman Senja
Abangku Hashim Zabidi


Di permakaman Jiwa

langkah kematian arah
suara kehilangan nada
hidup dalam penantian
menghitung kesementaraan
yang entah bila akhirnya

langkah memburu arah
suara membisik nada
hidup dan penantian
dihambat kesementaraan
yang entah bila akhirnya

dua hati tersimpul mati
tersiksa dalam duka
di persimpangan usia
dua hati tersimpul mati
tersula dalam nestapa
di permakaman jiwa

Ruhanie Ahmad
Bandar Baru Bangi
18 Ma 2011


Wednesday, March 16, 2011

Rerama

rerama putih
merintih pedih
merindu kasih

rerama kuning
di pohon kemuning
mengeluh hening

rerama biru
terkulai layu
meratap sendu

rerama putih
merindu kasih
rerama kuning
mengeluh hening
rerama biru
meratap sendu

bebunga maya
luruh kuntumnya
di sudut mega
gerhana senja


Ruhanie Ahmad
Bandar Baru Bangi
16 Mac 2011


Mohon Payungkan

andai malam ribut gempa
dijamah mimpi
mohon payungkan langit-langit di sini
dengan sehelai sejadah sutra
berkelambukan debu-debu kehidupan
supaya lautan yang luas raksasa
tidak menghimpit daratan menjadi satu
mengkiamatkan kaum ini

andai misteri panas terik
memamah isi kulit
mohon payungkan bumi-bumi di sini
dengan sepucuk warkah wasiat
bersarongkan keris panglima perang
supaya tanah-tanah yang berkilau keemasan
tidak terbenam lemas menjadi rebutan
mengkaramkan kehidupan kaum ini
memohon pohon dipayungkan

Bulan
15 Ma 2011

Tuesday, March 15, 2011

Anu Yang Koro

Di Bumi Pusaka.
Di Tanah Air Warisan.
Di kampung halaman.
Di laman Rumah Induk Rumah Pusaka Nan Gadang.
Hikayat cendekia bangsa
Dibiarkan
jadi unggun.
Dibiarkan
jadi asap jadi debu
dalam hina.

Dan
setiapnya
yang konon perkasa
tiba-tiba jadi buta, jadi tuli, jadi bisu.

Bertelut berlutut berjanji
akan mengerat lidah barang sesiapa
yang akan mengarak kata-kata benar
yang akanmengibarkan
nestapa suatu bangsa setia.

Inikah
hujungnya
anu yang koro?

yassinsalleh
2035 hrs. Mach 14. 11
Le Cassa Pacifica de Yaslehs
Copyright © 2011 yassinsalleh
All Rights Reserved

Nisab Terakhir

kalau salah
cakap salah
usah jadi
serba salah
kalau salah
cakaplah salah
bersihkan diri
noktahkan helah

kalau benar
cakap yang benar
usah meracau
berdegar-degar
kalau benar
cakap yang benar
usah gentar
usah geletar

kalau kau jadi
penyungsung arus
daki di dagu
sukar diurus
arang di muka
semakin legam
sejuta langiran
pun sukar nak padam

jika salah
cakaplah salah
jangan kau gogok
madu secangkir
jika benar
cakap yang benar
usah kau taksir
ikan di air

di kananmu
dan di kirimu
Raqib dan 'Atid
tak putus zikir
di depan matamu
Mungkar dan Nangkir
tak putus zikir
merangka nisab
pengadilan terakhir

berani kerana benar
takut kerana salah


Ruhanie Ahmad
Bandar Baru Bangi
14 Mac 2011

Sunday, March 13, 2011

Ayam Jantan Hilang Kokok

Shi Huang Ti
Maharaja Benua Besar
membakar mahakarya
cendekiawan Mandarin
jadi asap jadi debu

Dia maharaja gila

Niro
Maharaja Roman
membakar segalanya
tamadun budaya Kota Rom
jadi asap jadi debu

Dia maharaja gila

Interlok
mahakarya suatu tamadun
cendekia satu bangsa
berketurunan yang megah
berketuanan yang gagah
berkemegahan
siapa yang membakarnya
jadi asap jadi debu itu?

Mahacendekia Mandarin
dan mahatamadun Roma
setidak-tidaknya
dibakar jadi asap jadi debu
oleh Maharaja yang gila

Demikianlah balanya
bila bumi yang bertuah
jadi taman mainan
Sang Maharaja gila

Tapi tidak ada yang gila
di kebun sayur
di mana tidak berapa rumpunpun tumbuh peria
sayur pahit yang ramai orang tak sukan makan itu

Ayam jantan
hilang kokok

Interlok
terinterlocked

Cendekiawan
jadi koro dan bongok
meraikan kura-kura
memanjat pokok bongkok

Yassinsalleh
12 Mac 2011
Laman Pendita Seni
Gelanggang Seni Warisan
Kuantan

Mega Duka Menikam Badai

jalan kembara kian memanjang
mega duka mendendung pilu
purnama luka melakar rindu
hentian sepi mati mimpinya
puisi kelana hiba rimanya
lemah longlai sedih gemalai
sebatang kara memundak misi
membentengi bahtera nusa tercinta
dalam pelayaran meredah bahaya
merejang gelora terpa menerpa
menikam badai tanpa rentinya

jalan kembara mula dinoktah
langkah kelana semakin gundah
pada siapakah akhirnya
akan diwariskan suatu rahsia
sumpah setia ikrar satria
bila kesementaraan hayat juangnya
tiba ke penghujung benua usia

Ruhanie Ahmad
Bandar Baru Bangi
13 Mac 2011

Saturday, March 12, 2011

Melintasi Titiwangsa Dalam Perjalanan Ke Pusara Mummy

bila rambut tiba-tiba kusut
setiap helai rambutmu itu belahlah tujuh
leraikanlah

kalau tiba-tiba setitik taik burung jatuh di hujung dagu
mesyuarat agunglah semukim
cari cara terbersih mencucinya

bila tiba-tiba seekor tempua dah tak pandai lagi menganyam sarang
berkongreslah mencari sebab musabah yang saintifik
virus apakah yang menular kecendekiaan masyarakat mergastua

bila tiba-tiba bulan terendam dan mentari rebah pagi
interlok yang dibakar ambillah abunya
jadikan bedak hitamkanlah wajah sawo matangmu
dan seringaikanlah senyuman
peragakanlah gigi subsidi RISDAmu itu
sambil menyanyikan enjit-enjit semut siapa sakit naik atas

pinjamlah pisau tok mudim
kerat anumu
bagi biawak makan

Yassinsalleh
11 Mac 2011

Friday, March 11, 2011

Bicara Tanpa Kata

tiba-tiba dia muncul
dengan wajah riang ria
dengan suara nada ceria
menegur sapa hati dan jiwa
insan kembara di hujung usia

esok
lusa
dan bila-bila
penantian tiada hentinya
menunggu detik saat ketika
sebuah bicara mata dan hati
melakar kata tanpa bicara
menjalin sonfoni tanpa irama

siapakah dia ini
sunyi dan sepi
merangkul diri

Ruhanie Ahmad
Bandar Baru Bangi
11.3.11

JUTAAN AMPUN DAN MAAF....

JUTAAN MAAF SEBAB BLOG INI TIDAK DIKEMASKINIKAN BUAT SEKIAN LAMANYA. HARAP ANDA AKAN TERUS SUDI BERIKTERAKSI SECARA PANTUN DAN PUISI DI BLOG INI.

---Salam takzim dari Ruhanie Ahmad

Kapitalis Pencatur Kuasa

[reaksi keempat kepada Bahtera Nusa Begolang Galeng]

cuba menjawab seloka seladang
dari bahtera nusa tergolang-galeng
walau tak indah untuk dipandang
sekadar untuk di tatap di jeleng

longlai luntur tertampan kota
agenda kapitalis kuasa pencatur
jika aur tumbuh tidak serata
tanda climate-change perlu diatur

tali buai ikat ke pagar
senja datang ilham bertukar
kerana cuai memilih gelegar
segala senang menjadi sukar

Jejak tersekat di tanah rata
menghilang tiada kabar berita
meninggi pangkat menggunung harta
nama saja pembela tetapi pendusta

meranap menyekat lumrah alam
lemah lawan sekuat ada di dalam
begitu baik jahat bertemu depan
takdir penentuan amalan kehidupan

BULAN

Qada’ Dan Qadar

[reaksi ketiga kepada Bahtera Nusa Bergolang Galeng]

rebut taufan henti melanda
mendong angkasa maseh ada
selamat berlaboh bahtera nusa
dititian tebing pengkalan binasa

menyala sudah cahaya merata
membawa titah paduka bangsa
kegilaannya membena mahkota
qadak qadar dari Tuhan yang Esa

pangkalan ranap di hujung tebing
selamat bahtera terombang ambing
menuju pangkalan nahoda bimbing
kesukoran, sabar tiada tolok banding

menyala sudah cahaya merata
membawa titah paduka bangsa
gelora kuasa membena mahkota
qadak qadar dari Tuhan yang Esa

badai taufan tengah lautan
golang-galeng sama teman
nahoda teringat sianak gadis
diselang gambar ukiran gaya
biar sabar dalam tuntutan
itu tanda kerajaan beriman
tidak patah digoncang iblis
akhirnya menang dan berjaya


BULAN
27 Mei 2009

Mampukah Rakyat Buat Perubahan?

[reaksi kedua kepada Bahtera Nusa Bergolang Galeng]

ribut berpusing gegar keliling
longlai luntur tertampan kota
apalah tebing kepada tebing
jika aur tumbuh tidak serata

ikan tilan ditikam lembing
tali buai ikat ke pagar
ranap pengkalan di hujung tebing
kerana cuai memilih gelegar

jejak rusa di hutan dala,
Jejak tersekat di tanah rata
gelora kuasa terus menggila
meninggi pangkat menggunung harta

mampukah taufan meranap pengkalan
mampukah pengkalan menyekat taufan
mampukah rakyat membuat perubahan

SELADANG
tokperan.blogspot.com

Memohon Sembah Derhaka

[reaksi pertama kepada Bahtera Nusa Bergolang Galeng]

awan berarak diangkasa Darul Ridzuan
berselerakkan tenang menuju ke laluan
tetiba angin menderu meniup kencang
langit menggegar hangat menggoncang

bergelora menggulung cuaca melanda
meranap merentap ketuanan boneka
dengan kesucian mahkota dipersenda
menyembah sembah mohon derhaka

kiranya mendung bertukar kelabu
gelombang panas mulai menyerbu
menekan permukaan Darul Ridzuan
tersebar kederhakaan dan penipuan

semakin hitam tebal berlonggokkan
semakin berat gelap berselerakkan
menunggu masa tumpah ke daratan
membasahi seluruh bumi kedaulatan

dengan perasaan melihat ke langit hitam
takut malapetaka menimpa menghentam
biarlah hujan turun menyejukkan daratan
membersehkan kejahatan juga kekusutan

BULAN
13 Februari 2009