Monday, September 29, 2008

SUARA JIWA DI AIDILFITRI

dalam perantuan usia ini
fajar dan senja
beraneka warna merona hidup
berjuta badai dan gelora
menerjah perjalanan masa
duka nestapa silih berganti
riang ria hanya sesekali

dalam perjalanan usia ini
pertiwiku sentiasa dilukai jiwanya
dicarik-robek percaturan kuasa
insan yang beraja di hati
bersultan di mata
saban purnama
sepanjang musim
entah bila rentinya

dalam pengisian usia ini
pemburuan dan penantian
sentiasa bergerak tanpa noktah
pengorbanan dan pejuangan
adalah kesementaraan yang dimestikan
sebelum aku dipanggil pulang
ke alam perhitungan Illahi
antara dosa dan pahala
antara neraka dan syurga
di alam kekal lagi abadi


RUHANIE AHMAD
Kajang, Selangor
29 September 2008

Friday, September 5, 2008

DALAM MASYARAKAT ORANG TELANJANG

apa lagilah yang tinggal
bagi suatu bangsa
yang kehilangan semalamnya?

keris di pinggang
tak lagi diasap harum kemenyan
tak lagi diusap limau langiran
dan setiap kali terhunus
setiap itu pula ia kembali
tersarung tanpa menikam apa-apa!

makanya
di manakah lagi akan tercari
erti semangat besi kursani
erti keramat daulat pertiwi
erti keperwiraan gagah berani
suatu bangsa bernama Melayu
yang asyik menyanyikan lagu si luncai
yang lemas di tasik kedayusan abadi

duhai Melayu
apakah keris lambang kepahlawananmu
kini cuma sekadar alat
persendaan para sida-sida
di pentas erotika bangsa
di mana berkumpul sang bacul
memuja si khianat bertakhta
di mana si bangang dan sang bahlul
bertemasya merayakan ketuanan mereka
sebagai rakyat tolol
yang tanahairnya kian dogol
dan mandul!

duhai Melayu
apabila suatu bangsa
sudah tidak dapat lagi membezakan
antara kebenaran dan kepalsuan
makanya bangsa itu sudah mula
membuangkan pakaian di tubuh
kerana di dalam masyarakat orang telanjang
yang berpakaian dianggap biadap
dan tidak sopan

syabas saudaraku Anwar Ibrahim
kau masih jua seorang wira
yang tidak membuang pakaianmu
dan obor perjuangan masih jua tetap
benderang di tanganmu!

semoga selamatlah engkau
dalam lindungan ALLAH SWT

yassinsalleh
Permatang Pauh
17 Ogos 2008

Wednesday, September 3, 2008

ERTI KEMERDEKAAN

merdeka mentafsir diri sendiri
dan bangga pada apa yang ada
masih mahukan harga itu diperjudikan

nasib kita genggam
dengan tangan sendiri
dan segala kudrat kurniaan
kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa
kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang
maruah bangsa kita julang ke mercu alam
kita bangunkan suatu tamadun cinta damai
di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang
di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan
dan bukan alat peperangan
dunia belajar erti merdeka sejati
mempelajari dan menerima segala perbezaan
merdeka menafsir hidup tanpa paksaan kuasa

di sini kita yakin segalanya boleh
di sini kita yakin segalanya boleh
itulah erti kemerdekaan

perjuangan ini mesti diteruskan

Mika Angel-0
31 Ogos 2008

ANUGERAH PUTERA DI HARI MERDEKA

aku pewaris bumi merdeka ini
aku putera akulah raja
aku takhta akulah kuasa
aku putera segala putera
aku raja segala raja
aku takhta di sebalik persada
aku kuasa di sebalik kuasa

aku pewaris bumi merdeka
aku bukan generasi kolot insan nasionalis
aku progresif lambang manusia universalis
aku tak punya apa-apa prejudis
walau kepada pelacur kiasu berbadan hamis
biar kepada sundal manis proksi zionis

ayahku insan budiman yang cukup agung
minda rapi disalut kepompong
dunianya asing dan amat terkepong
kerana dia mahu cari hidup yang rampong
tanpa harta bertimbun-timbun untuk jadi kaya
tanpa wang berjuta-juta untuk berfoya-foya
demi cintanya pada Al-Ghazali dan Al-Shafie
demi cintanya kepada rahsia kitab suci
demi cintanya kepada rahsia sunnah nabi
dia cipta Islam hadhari
dia hanya cari hidup penuh erti
dia hanya mahu hidup damai dan abadi

akulah pewaris mutlak bumi merdeka ini
aku puteranya aku rajanya
aku takhtanya aku kuasanya
sempena hari kemerdekaan ini
silakanlah mari ke mari
pilihlah dan ambillah
ambillah apa sahaja yang kau gemari
ayahku pasti akan setuju
ayahku pasti akan beri
kau mau pulau
ambillah Pulau Batu Puteh
kau mau tanah
ambillah bumi Iskandar Malaysia
kau mau selat
ambillah jaluran Selat Melaka
kau mau kota yang masyhor
ambillah seluruh Kuala Lumpur
kau mau takhta
ambil saja takhta ayahku di Putrajaya
ayuh ambillah semuanya secara gratis
ayahku tak akan hirau
ayahku tan akan nangis
dia tak akan peduli
kalau engkau pelacur kiasu berbadan hamis
dia tak akan peduli
kalau engkau sundal manis proksi zionis

esok, lusa, tulat dan bila-bila
datang lagilah pelacur kiasu berbadan hamis
datang lagilah sundal manis proksi zionis
ambillah apa lagi semuanya gratis
peduli apa rakyat jelata menyalak bukit
persetankan mereka terjerit terlolong
di merata lorong di segenap kampung
ayahku tetap bahagia di istana kepompong

aku pewaris bumi merdeka ini
aku putera aku raja
aku persada aku kuasa
citera sejarah bumi merdeka ini
kau corak warnakanlah secara gratis
selagi kau pelacur kiasu berbadan hamis
selagi kau sundal manis proksi zionis
terus meladeni aku dengan aneka juadah nafsu
di atas hamparan intan berlian bergemerlapan
buat aku juga damai abadi sebelum mati

aku pewaris bumi merdeka ini
aku putera akulah raja
aku takhta akulah kuasa
aku putera segala putera
aku raja segala raja
aku takhta di sebalik persada
aku kuasa di sebalik kuasa
siapa berani menggugat aku
siapa berani menyingkirkan aku
selagi aku masih bercumbu mesra
dengan pelacur kiasu berbadan hamis
selagi aku masih mabuk asmara
bersama sundal manis proksi zionis

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Ruhanie Ahmad
Kajang, Selangor
30 Ogos 2008

[dideklamasikan di majlis puisi anjuran Prima pada 30 Ogos 2008]