Sunday, September 9, 2007

Daulat Tuanku
[buat putraku Yasleh Khaliff Amri]

sekian ini lamanya engkau Melayu
menjadi kelasi armada yang kian karam
kerana seekor demi seekor nakhodamu
masih jua tetap menganyam pelangi
memintal mimpi lautan ilusi
menjelmakan fatamorgana
sebagai realiti harapan
di mana engkau terpesona mengakui
bahawa engkau bukannya hanya sekadar berseloka
dalam simfoni pelangi mimpi nyanyian ilusi
senandung kalbu melarik duka meraut malang
menguliti mega nestapa angan-anganmu
merentasi segara syahdu kealpaanmu

mana mungkin bersatu
nestapamu dan sayahduku
ya Melayu,
kerana engkau masih jua percaya
bahawa menara ketuananmu yang abadi perkasa
masih jua mungkin terbina di atas tapak anyaman mimpi

kerana demikianlah yang kau mahu
maka akan demikianlah seterusnya engkau Melayu

makanya
pun aku terpaksa sendirian
menimba bara meniti duri
demi PanggilanPERTIWI
akan ku tiupkan nafiri
yang bergema dari benua ke benua
Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!
Daulat Tuanku!

yassinsalleh
31 Ogos 2007
Taman Saujana Impian, Kajang.

No comments: