Thursday, December 11, 2008

KANUN WARISAN

taman ini pusaka bangsa
punya kanun adat susila
tertib sopan jadi warisan
pantang larang jadi batasan

para pedagang datang bertandang
jangan sesekali menghunus pedang
setiap pelaut yang melabuh sauh
usah ghairah mencanang taboh
sesiapa jua menumpang kasih
fahami keajaiban senduduk putih

lembah dan lurah sama dituruni
gunung dan bukit sama didaki
hati gajah sama dilapah
hati kuman sama dicicah

kajang tuan berawan larat
kajang kami berkeris bisa
dagang tuan dagang bersyarat
sedangkan kami pewaris nusa

taman ini pusaka bangsa
punya pewaris pembela nusa
punya sejarah dan warisannya
punya martabat dan kedaulatannya

para pedagang datang bertandang
jangan sesekali berlagak tenggang
setiap pelaut yang melabuh sauh
ketam batu jangan dirempoh
sesiapa jua menumpang kasih
hayati semerbak cempaka putih

sarang tebuan usah dijolok
padi di kepok jangan dirampok
usah kerohkan air di hulu
usah contohi perangai dedalu

terang bulan bayu gemilir
dikala bunian meronda maya
segala perbuatan perlu difikir
sesal kemudian tiada gunanya

taman ini pusaka bangsa
pewarisnya insan amat penyabar
hidup muafakat bersendi iktibar
jangan sesekali mereka dicabar

para pedagang datang bertandang
janganlah melukut di tepi gantang
setiap pelaut yang melabuh sauh
jauhilah perangai si ayam jagoh
sesiapa jua menumpang kasih
ketahuilah rahsia letupan bertih

keris di pinggang jangan disanggah
kadok di junjung jangan dimegah
bintang di langit usah diranggah
bumi dipijak usah diludah

pinang diukir hiasan tembikar
padi dibendang seindah mantera
tenangnya air jangan ditawar
jadi gelombang musnah bahtera

Ruhanie Ahmad
10 Disember 2008

2 comments:

dariana said...

puisi landak
- buat chua s.l

sungguh tutur katamu
mendiri duri-duriku
roma marah semenanya kauakur itu
telah menjdi semawar hangat
sembarangan kaupoloskan cemburu
tanpa cerna meremang iklim keliling
kini dengarkan tajamku menerkam
genta cabar menerjah gegendang!

angkatan penyair kelantan.

panggilan pertiwi said...

Saudara Hadi

Terima kasih. Kirim-kirimlah selalu puisi ke blog untuk saya siarkan.

Salam puisi - Ruhanie Ahmad