Tuesday, February 12, 2008

Ini Mantera Sang Nila Utama
Buat Orang Yang Gila Kuasa

wahai sekalian rakyat jelata
inilah mantera sang nila utama
mantera manusia yang gila kuasa
mantera milik singa bersisik
singa kesayangan raja temasik
raja terpintar di hujung benua

wahai ratu segala jin
dikaulah jin yang baru kawin
wahai setan segala setan
mullahkali rajanya setan

wahai iblis segala iblis
iblis zionis yang amat kenis
wahai puaka segala puaka
puaka kuanyu paling durjana

wahai dajal segala dajal
dajal airi dajal terhandal
wahai hantu segala hantu
patriklimo proksinya hantu

seluruh jin dan seluruh setan
semua iblis dan semua puaka
segala dajal dan segala hantu
berilah restu sudilah bantu
bantulah boneka kesayangan beta
boneka perdana yang duduk bertakhta
sedang lemas dilanda gelora

duhai dewa singa temasik
kaulah raja segala dewa
kaulah singa paling perkasa
bantulah beta tolonglah beta
musnahkan segera gelora kuning
tolonglah beta bantulah beta
rentikan segera gelora rakyat
tolonglah beta bantulah beta
boneka perdana duduk bertakhta
lindungilah kuasanya sepanjang hayat

duhai boneka kesayangan beta
dikau adalah boneka perdana
inilah mantera segala mantera
mantera purba sang nila utama
mantera orang yang gila kuasa
mantera warisan raja temasik

boneka perdana buah hati beta
dengarlah kehendak mantera ini
mesti akur kepada ikrar
mesti setia kepada janji
raja temasik jangan dibenci
khianati baginda jangan sekali

wahai dikau boneka perdana
inilah perintah raja temasik
dengarlah dengan sepenuh asyik
jika tidak takhtamu terbalik

inilah kisahnya perintah baginda
binalah taman di tanjung puteri
supaya singanya bercanda ria
memburu habuan sesuka hati

satu lagi titah baginda
bukalah bendang di jantung kota
tempat warganya bersawah huma
tanpa halangan dari sesiapa

duhai dikau boneka perdana
demikianlah mantera sang nila utama
mantera bingkisan raja temasik
raja terpintar di hujung benua

engkar jangan khianat pun jangan
jika engkar bahteramu ku bakar
jika khianat dikau dilaknat
jika gagal lehermu ku penggal

duhai datuk boneka perdana
demikian sudahnya mantera diperi
mantera titah raja temasik
yang lindungi dikau perintah negeri

titah baginda mesti kau taati
kuasa baginda mesti kau sanjungi
dan jangan kau lupa waima sekali
dalam rahsia kita berkongsi negeri
di langit tinggi baginda sembunyi
menghitung laba sepanjang hari


Ruhanie Ahmad
Kajang
10 Januari 2008
[versi ini disunting pada 12.2.8]
Simfoni Biru
[buat nusa dan bangsa]

Wajah-wajah biru meraih rindu
jari-jari kaku mengarca duka
denyut kalbu membekam pilu
gelora jiwa membara nestapa
menyusun nada
menggembleng tekad
menyunting madah
menggerak tapak
meledak suara

maka terlerailah kealpaan
anak-anak bangsa
sedikit demi sedikit
mereka bangkit dan mereka menjerit
dengan lalintar jadi pedangnya
dentuman guntur gendang perangnya
mereka menyerang
mereka menendang
dan mereka menerajang
seluruh boneka di persada kuasa
hingga rebah mentari dan bulan
terjelapak di kaki sejarah yang parah

di bawah sayupnya rona pelangi
bercandalah jutaan rakyat jelata
mendendangkan irama simfoni biru
sambil memahatkan belasungkawa
pada suatu kematian
nakhoda sasau empayer mungkar
yang tersungkur hina di lembah nafsu

di bawah kibaran panji satria
berikrarlah anak-anak desa dan kota
dengan kata janji setia
membela ibunda yang lama derita
merindukan pembelaan
yang murni dan abadi

Ruhanie Ahmad & Yassinsalleh
Kajang
Disember 2007


Menghitung Mimpi

di malam sepi
ku hitung bingkisan berjuta mimpi
tentang darjat dan pangkat
tentang harta dan kuasa
kerana aku mahu jadi kaya raya
dalam sekelip mata

lantas kerkerawanganlah
kunang-kunang di ruang mata
memancar sinar aneka warna
dengan wajah iblis dan setan
menjelma gilir giliran
dengan gayanya
lenterik-lenterik
halus dan lembut
bagaikan sutera
membalut jiwa yang kerinduan

setan seksi pun membisik madah:
kalau mau jadi kaya dengan sekelip mata
gadaikan saja maruah bangsa
biar kepada siapa jangan dikira
khaznah akan datang melempah ruah
bagaikan panen padi di bendang lembah

iblis genit pula membisik bicara:
bukan susah nak jadi senang
lemparkan saja harga diri ke dalam longkang
gadaikan jiwa dan ragamu
kepada siapa jangan dibilang
pasti bergumpal-gumpal harta datang bertandang
melonjakkan martabat jadi terbilang

sejuta lagi setan seksi
dan berjuta-juta iblis genit
berebut-rebut memberikan petua
untuk jadi kaya raya
dengan sekelip mata
hingga aku jadi bingung dan buntu
dan seluruh mimpi ku layu lesu
digoda nafsu mata keranjang

lantas terlenalah aku
dalam dakapan berjuta mimpi
dan berjuta petua
mahu jadi kaya raya
dalam sekelip mata
ikut versi setan dan iblis
yang amat menyesatkan

di hujung penasaran itu
aku diulit suara merdu
membisikkan nada keramah ke rongga jiwa
dengan penuh kasih dan sayang:
kayakanlah diri dengan keluhuran budi
kayakanlah diri dengan kehalusan bahasa
kayakanlah diri dengan ketulusan jiwa
kayakanlah diri dengan kemurnian peribadi
kayakanlah diri dengan tekad suci
kayakanlah diri dengan pengabdian kepada Illahi
yang maha kaya
maha pemurah
maha pengampun
maha mengerti
maha berkuasa

maka akan kayalah dirimu
dengan limpahan rahmat dan hidayah
serta petunjukNya yang lurus
sepanjang hayat

Ruhanie Ahmad
Country Heights
5 Februari 2008


Monday, February 11, 2008

Kuntum-Kuntum Rindu

kau adalah kuntum-kuntum mawar
segar bugar bermandi embun
riang ria bermandi cahaya
bersama fajar menebar rindu
pada nusa dan keperkasaannya

kau adalah lambaian mesra
pepohon nyior warisan bangsa
yang menitipkan nostalgia
pada alam dan manusia
bersama puputan bayu
menerjah wajah petani desa
yang rela mati dibakar mentari

kau adalah
bunga-bunga kasih di taman istana
yang memayungi warga nusa
mengibarkan panji setia
menggema suara menjunjung bara
dalam perjuangan memetik rindu
dari pepohon sejarah layu
yang kehilangan paksi keindukannya

kau adalah anak-anak tanpa wajah
anak-anak tanpa nama
yang berjiwa besar
mahu memagarkan berjuta bintang
ke setiap liku ukiran mahkota
biar sinarnya meyirna jagat
hingga kilatnya menyula maya
sampai kilaunya memanah mega

kau adalah kita
pemuisi dhaif yang mencipta madah
dalam perjalanan penuh sepi
mengutip kuntum-kuntum rindu
dijadikan ramuan penawar sakti
memulihkan semangat nusa bangsa
yang mutakhir ini dalam keresahan
dengan citra warna duka nestapa
dan kepura-puraan iblis perdana

Ruhanie Ahmad
Country Heights
29 Oktober 2007