Monday, December 22, 2008

ARCA MAKRIFAT

bendera megah di mega nusa
merias angkasa di kota Bentan
perwira gagah menjaga bangsa
tegas perkasa membela watan

tumbuk padi di Langkapura
untuk hidangan sihulubalang
tunduk padi tunduk perwira
tunduk lalang jadi petualang

kerawang lilin dibelah bujur
gangsa dipangsa dengan teliti
pejuang tulen mestilah jujur
nusa bangsa jangan khianati

Kuala Bidara gugusan jati
sendi penarik Pekan Sedili
kala bicara luruskan hati
jadi munafik jangan sekali

Kuala Kelawang pekan rawa
bumi rahmat di ceruk maya
bila berjuang putihkan jiwa
resmi khianat buruk adanya


Teluk Datuk Teluk Pandan
memilir wangi kasa baiduri
tumbok rusuk meremok badan
mungkir janji membinasa diri

gelora ombak meniti hikmah
memancar kilat arca makrifat
cara bertindak mesti berhemah
biarlah selamat dunia akhirat

Pulau Pengail merajang mata
dengan kilau geliga Andalas
jikalau kail panjang sehasta
jangan kau duga segara luas

Bangka Laut puja-pujaan
diserlah lulut kemboja utan
jika dianut kepura-puraan
jadilah badot pemuja setan

di Kuala Balah kota sejarah
ukiran batu penangkal budi
kepada Allah kita berserah
pohonkan restu kekal abadi


Ruhanie Ahmad
Selangor
22 Disember 2008

4 comments:

Seladang said...

Dato yang dihurmati,

Kon akan jawap satu persatu pantun dato dalam masa terdekat, InsyaAllah.

Jika ada kelapangan jengok-jengoklah:

http://tokperan.blogspot.com

Seladang said...

Dato Ron yang dihurmati,

MENJAWAB PANTUN RANDA PERSAHABATAN.

RON:
Bendera Megah di mega nusa,
merias angkasa di Kota Bentan;
Perwira gagah menjaga bangsa,
tegas perkasa membela watan.

SELADANG:
Merias angkasa Kota Bentan,
ukir kerewang menghisa peran;
Tegas perkasa menjaga bangsa,
Jangan wang jadi ukuran.

RON:
Tumbuk padi di Langkapura,
untuk hidangan si hulubalang;
Tunduk padi tunduk perwira,
tunduk lalang jadi petualang.

SELADANG:
Untuk hidangan si hulubalang,
nasi pemimpin dibiar dingin;
Tunduk lalang jadi petualang,
lenggok perimpin mengikut angin.

RON:
Kerewang lilin dibelah bujur,
gangsa dipangsa dengan teliti;
Pejuang tulin mestilah jujur,
nusa bangsa jangan khianati.

SELADANG:
Gangsa dipangsa dengan teliti,
alas tersadai di pinggir kali;
Nusa bangsa jangan klhianati,
pulau tergadai tebuslah kembali.

RON:
Kuala Bidara gugusan jati,
sendi penarik Pekan Sedeli;
Kala bicara luruskan hati,
jadi munafik jangan sekali.

SELADANG:
Sendi penarik Pekan Sedeli,
pinggir sawah berdepan paya;
Jadi munafik jangan sekali,
penerima rasuah hina tarafnya.

RON:
Kuala Kelawang pekan rawa,
bumi rahmnat di ceruk maya;
Bila berjuang putihkan mata,
resmi khianat buruk adanya.

SELADANG:
Bumi rahmat di ceruk maya,
panglima perkasa berbaju suasa;
Resmi khianat buruk adanya,
merosak bahasa meruntuhkan bangsa.

RON:
Teluk Datuk Teluk Pandan,
memilir wangi kasa baiduri;
Tumbok rusuk meremok badan,
mungkir janji membinasa diri.

SELADANG:
Memilir wangi kasa baiduri,
susun pingan dalam baldi;
Munmgkir janji membinasa diri,
jari tangan penentu undi.

RON:
Gelora ombak meniti hikmah,
memancar kilat arca makrifat;
Cara bertindak mesti berhemah,
Biar selamat dunia akhirat.

SELADANG:
Memancar kilat arca makrifat,
mendung angkasa petir memanah;
Biar selamat dunia akhirat,
bila berkuasa tunaikan amanah.

RON:
Pulau Pengail merajang mata,
dengan kilau geliga Andalas;
Jikalau kail panjang sehasta,
jangan kau duga segara luas.

SELADANG:
Dengan kilau geliga Andalas,
burung bersarang di batu bata;
Jangan kau duga segara luas,
jerung bersarang mengumpul harta.

RON:
Bangka Laut puja-pujaan,
diserlah lutut kemboja utan;
Jika dianut kepura-puraan,
jadilah badot pemuja setan.

SELEDANG:
Diserlah lutut kemboja utan,
Selagi usia dapat bertahan;
Jadilah badot pemuja setan,
mendewakan manusia melebihi Tuhan.

RON:
Kuala Balah kota sejarah,
ukiran batu penangkal budi;
Kepada Allah kita berserah, pohonkan restu kekal abadi.

SELADANG:
Ukiran batu penangkal budi,
ditumbuk lumat selepas dibelah;
pohonkan restu kekal abadi,
menjadi umat dilindungi Allah.

http://tokperan.blogspot.com

bulan said...

RON:
Bendera Megah di mega nusa,
merias angkasa di Kota Bentan;
Perwira gagah menjaga bangsa,
tegas perkasa membela watan.

SELADANG:
Merias angkasa Kota Bentan,
ukir kerewang menghisa peran;
Tegas perkasa menjaga bangsa,
Jangan wang jadi ukuran.

BULAN
ukir kerewang menghias peran
diri tersadai dek bahasa kurang
jangan wang jadi ukuran
negeri tergadai bangsa terbuang

RON:
Tumbuk padi di Langkapura,
untuk hidangan si hulubalang;
Tunduk padi tunduk perwira,
tunduk lalang jadi petualang.

SELADANG:
Untuk hidangan si hulubalang,
nasi pemimpin dibiar dingin;
Tunduk lalang jadi petualang,
lenggok perimpin mengikut angin.

BULAN
nasi pemimpin dibiar dingin
sejok berhari mungkin melarat
lenggok perimpin mengikut angin
petunjok diri dah makin keparat

RON:
Kerewang lilin dibelah bujur,
gangsa dipangsa dengan teliti;
Pejuang tulin mestilah jujur,
nusa bangsa jangan khianati.

SELADANG:
Gangsa dipangsa dengan teliti,
alas tersadai di pinggir kali;
Nusa bangsa jangan klhianati,
pulau tergadai tebuslah kembali.

BULAN
alas tersadai di pinggir kali
datok kalimatan timbalan menteri
pulau tergadai tebuslah kembali
untok keselamatan anak negeri

RON:
Kuala Bidara gugusan jati,
sendi penarik Pekan Sedeli;
Kala bicara luruskan hati,
jadi munafik jangan sekali.

SELADANG:
Sendi penarik Pekan Sedeli,
pinggir sawah berdepan paya;
Jadi munafik jangan sekali,
penerima rasuah hina tarafnya.

BULAN
pinggir sawah berdepan paya
meniti parit pesan melati
penerima rasuah hina tarafnya
pasti perit balasan menanti

RON:
Kuala Kelawang pekan rawa,
bumi rahmnat di ceruk maya;
Bila berjuang putihkan mata,
resmi khianat buruk adanya.

SELADANG:
Bumi rahmat di ceruk maya,
panglima perkasa berbaju suasa;
Resmi khianat buruk adanya,
merosak bahasa meruntuhkan bangsa.

BULAN
panglima perkasa berbaju suasa
tenonan mas ayu indah sentiasa
merosak bahasa runtuhkan bangsa
ketuanan melayu mudah binasa

RON:
Teluk Datuk Teluk Pandan,
memilir wangi kasa baiduri;
Tumbok rusuk meremok badan,
mungkir janji membinasa diri.

SELADANG:
Memilir wangi kasa baiduri,
susun pingan dalam baldi;
Munmgkir janji membinasa diri,
jari tangan penentu undi.

BULAN
cari pingan menantu sahadi
penat ta larat, gelabah kami
jari tangan penentu undi
lahnat keparat rebah ka bumi

RON:
Gelora ombak meniti hikmah,
memancar kilat arca makrifat;
Cara bertindak mesti berhemah,
Biar selamat dunia akhirat.

SELADANG:
Memancar kilat arca makrifat,
mendung angkasa petir memanah;
Biar selamat dunia akhirat,
bila berkuasa tunaikan amanah.

BULAN
mendung angkasa petir memanah
meluru silang selang menyelang
bila berkuasa tunaikan amanah
baru cermelang gilang gemilang

RON:
Pulau Pengail merajang mata,
dengan kilau geliga Andalas;
Jikalau kail panjang sehasta,
jangan kau duga segara luas.

SELADANG:
Dengan kilau geliga Andalas,
burung bersarang di batu bata;
Jangan kau duga segara luas,
jerung bersarang mengumpul harta.

BULAN
burung bersarang di batu bata
jualan gelang desa sawasta
jerung bersarang mengumpul harta
amalan hilang dek kuasa bertahta

RON:
Bangka Laut puja-pujaan,
diserlah lutut kemboja utan;
Jika dianut kepura-puraan,
jadilah badot pemuja setan.

SELEDANG:
Diserlah lutut kemboja utan,
Selagi usia dapat bertahan;
Jadilah badot pemuja setan,
mendewakan manusia melebihi Tuhan.

BULAN
selagi usia dapat bertahan
benda merusok jantong saitan
mendewakan manusia lebihi Tuhan
tanda nak masok Tanjong Rambutan

RON:
Kuala Balah kota sejarah,
ukiran batu penangkal budi;
Kepada Allah kita berserah, pohonkan restu kekal abadi.

SELADANG:
Ukiran batu penangkal budi,
ditumbuk lumat selepas dibelah;
pohonkan restu kekal abadi,
menjadi umat dilindungi Allah.

BULAN
ditumbuk lumat lepas dibelah
milik dia miskipun bersarat
menjadi umat dilindungi Allah
baik di dunia mahupun akhirat

panggilan pertiwi said...

Bulan, salam puisi dan terima kasih. Saya akan siarkan pantun anda dalam blog ini.

- Salam takzim