Sunday, October 28, 2007

Gurindam Seorang Orang

aku menyampah
aku meluat
aku benci

aku jelak
aku resah
aku tertekan

akui, aku
mengaku, aku
mengiyakan, aku

semua, adalah semata-mata
segalanya, adalah semata-mata
setiapnya, adalah segala-galanya

biarlah..aku benci, aku tertekan!!
aku meresah..ku nak mencari,aku hairan!!
di mana?? mana? tiada?!!

Hesmel Faznee Faisal
Cyber Music Asia
29 Mei 2006
Budak Itu…!!!!!

katanya
budak itu adalah Hang Nadim
perkasa berpencak
sandaran nusa bangsa
menentang ancaman durjana
pembela pertiwi
penegak obor suci

katanya lagi
budak itu amat bistari
bijak pekerti
elok budi bahasa
pandainya teramat
mampu menongkah angin selatan
mengemudi bahtera merdeka

katanya untuk kesekian kali
jagalah dia
budak suci permata hati
usah dicampak ke laut ganas
sisihkan fitnah bendahara raja
hilangnya tidak mungkin
mampu dicari ganti

dan aku pun terpegun
oleh ngomelan nyanyuknya
kerana budak itu
bukan Hang Nadim
jelmaannya adalah
warisan si kitol mamak mandaliar
untuk kembali menggadai maruah bangsa
megah menjilat telapak kaki penjajah
menggamit musuh ke peraduan mimpi
agar perkosaan tidak lagi dilihat jijik

Kamal Amir
Di kaki Menara UMNO
Kuala Lumpur
27 Oktober 2007

Friday, October 26, 2007

Gelora Senja

jiwa menggelora rasa
rasa membekam bara
bara membakar senja
senja menyirna citra
iblis perdana
lingkup tersingkir
puaka buana
lungkup tersungkur
hancur lulur
menjadi debu
di sambar bayu
raikan kebangkitan
mega jingga
penuh santun
membungkus malam
dan rona mimpinya

Ruhanie Ahmad
26 November 2007

Wednesday, October 10, 2007

Citera Hayat Seorang Hamba

kemarau makin panjang
dahaga tanpa penawar
layu tiada penyegar
pilu sentiasa melakar duka
dikala senja merangkul bintang
citeranya cukup syahadu
umpama ikrar Solat Tasbih
yang mendayu-dayu dalam kerinduan
mensucikan Illahi dengan keagungan
dan kemahakuasaanNya

dalam perjalanan ini
siapalah aku
kalau bukan seorang insan kerdil
yang hanya bisa mengabdi total
dengan kelemahan dan kekurangan
kepada yang Maha Asa
sepanjang masa
setiap ketika
selagi hayat diizin bicara
tentang suka dan duka
dosa dan pahala
bangsa dan perjuangan
para manusia
dan kemungkarannya

kemarau makin panjang
dahaga tiada penawar
layu tanpa penyegar
pilu terus melakar duka
namun perjalanan ini
pasti akan berakhir
dengan suatu bisikan syukur
diatas rahmat dan nikmat
restu dan hidayat
yang akan terukir
di dasar jiwa seorang hamba
yang setia dan sentiasa setia
kepada suratan takdir
serta qada’ dan qadarNya


Ruhanie Ahmad
Kajang
10 Oktober 2007
Lambang Erotika Bangsa

apa lagilah yang tinggal
bagi hulubalang
yang kehilangan semalamnya?

sekian lama sudah keris di pinggang
tak diusap limau langiran
tak diasap harum kemeyan
dan setiap kali ia terhunus
setiap itu pula ia kembali tersarung
tanpa menikam apa-apa

maka di manakah lagilah
akan tercari erti
semangat besi kursani
erti keramat daulat pertiwi
erti keperwiraan gagah berani
suatu bangsa benama Melayu
yang kian bacul
dalam kedayusannya maha abadi

duhai Melayu
apakah keris lambang kepahlawanan
warisan nenek moyangmu zaman berzaman
atau kini cuma sekadar hiasan
pinggang pengantin bersanding
dan pameran kebaculan
para pengucupnya
di atas pentas erotika bangsa?

duhai Melayu!
“Biarkanlah!” kah?

yassinsalleh

9 oktober 2007
taman saujana impian
kajang

Wednesday, October 3, 2007

Menara Kasih

dengan ikrar sumpah setia
ku riasi menara nusa
dengan sehelai bendera sutera
ronanya keemasan panji pusaka
indah dan megah
syahdu dan gagah
meyegar rindu
pada bangsa dan keunggulannya
mengabdi cinta
pada perjuangan dan kejayaannya
menitip kasih
pada Ilahi dan keagungannua

dan malam pun berlabuh
dalam dakapan pertiwi tercinta
dengan iringan simfoni merdu
lunak dan mesra sepanjang usia

Ruhanie Ahmad
Kajang
1 Oktober 2007

Monday, October 1, 2007

Airmata Duka

airmata duka
titis demi titis
menghurai rahsia
masa demi masa
menghimpun tenaga
hari demi hari
ngalir ke hilir penuh perkasa

airmata duka
dari gunung ngalir ke bukit
dari bukit ngalir ke lurah
dari lurah turun ke lembah
dari lembah turun ke sungai
dari sungai memburu muara
dari muara menerjah segara
meledak kebangkitan gelora jiwa

airmata duka adalah senjata
airmata duka adalah kuasa
membelah angkasa
menggoncang menara
sampai rontok mega-mega hitam
sampai lulur pedu-pedu kejam
musnah binasa di tugu sejarah

Ruhanie Ahmad
Kajang
30 September 2007