Monday, December 22, 2008

ARCA MAKRIFAT

bendera megah di mega nusa
merias angkasa di kota Bentan
perwira gagah menjaga bangsa
tegas perkasa membela watan

tumbuk padi di Langkapura
untuk hidangan sihulubalang
tunduk padi tunduk perwira
tunduk lalang jadi petualang

kerawang lilin dibelah bujur
gangsa dipangsa dengan teliti
pejuang tulen mestilah jujur
nusa bangsa jangan khianati

Kuala Bidara gugusan jati
sendi penarik Pekan Sedili
kala bicara luruskan hati
jadi munafik jangan sekali

Kuala Kelawang pekan rawa
bumi rahmat di ceruk maya
bila berjuang putihkan jiwa
resmi khianat buruk adanya


Teluk Datuk Teluk Pandan
memilir wangi kasa baiduri
tumbok rusuk meremok badan
mungkir janji membinasa diri

gelora ombak meniti hikmah
memancar kilat arca makrifat
cara bertindak mesti berhemah
biarlah selamat dunia akhirat

Pulau Pengail merajang mata
dengan kilau geliga Andalas
jikalau kail panjang sehasta
jangan kau duga segara luas

Bangka Laut puja-pujaan
diserlah lulut kemboja utan
jika dianut kepura-puraan
jadilah badot pemuja setan

di Kuala Balah kota sejarah
ukiran batu penangkal budi
kepada Allah kita berserah
pohonkan restu kekal abadi


Ruhanie Ahmad
Selangor
22 Disember 2008

Sunday, December 21, 2008

TINTA BARA SATRIA

pengabdian ini
melakarkan wajah satria derita
kalbunya layu disula rindu
jiwanya parah dilapah duka
hatinya hancur dijerok durja
sendunya biru dirintih sedih
berjuta kelaran sembilu bisa
gagal melulurkan seluruh angkara
yang menggugat nusa tercinta

pertapaan ini
adalah citra rawan penuh nestapa
bahangnya meredang jutaan tekad
berserawangan di awang-awang
menanti tabohan gendang perang
yang lantang garang dan berang
untuk membinasakan puaka buana
yang menodai makhota suci
melalui perkosaan ibu pertiwi
di hujung mimpi tanpa bertepi

kebangkitan ini
adalah kesiagaan anak-anak pribumi
yang bingkas berdiri menjulang janji
menghunuskan pena bertinta bara
memantera madah seloka derhaka
sopan santunnya mengancam jagat
lemah lembutnya menggegar maya
dengan ungkapan rima kata murka
kita binasakan seluruh puaka buana
di jantung kota
kita musnahkan segala hama durjana
di pinggir denai
bersama syahdu laungan takbir
bersama silir bayu gemilir
kita pukau kilat panahan petir
sehingga bahaya lenyap tersingkir

di medan juang ini
kalbu kita usah layu disula rindu
jiwa kita jangan parah dilapah duka
hati kita usah hancur dijerok durja
sendu kita jangan biru dirintih sedih
jutaan bilah sembilu bisa
adalah senjata kita paling perkasa
untuk melulurkan seluruh bicara
yang mentalqinkan perjuangan bangsa
yang mestinya segak perkasa
sepanjang masa sepanjang usia

Ruhanie Ahmad
Selangor
20 Disember 2008

Saturday, December 20, 2008

GURUN SENGSARA

kadang-kadang
kita singgah mandi air terjun
sambil mendengar serindit berkicauan
dan mentari turun menyulam pelangi
- indah sungguh bercinta

kadang-kadang
kita singgah menghitung manik embun
sambil bintang-bintang menari
dan bulan membelai tubuh kita tak berbenang
- nikmat sungguh berkasih

kadang-kadang pula
kita terdampar di gurun sengsara
kita berdakapan di ranjang kerikil dan bara pasir
menghampar pilu yang amat saujana
duri kaktus pembalut luka
- tabah sungguh merempuh dugaan

tiba-tiba
kita kini tidak lagi meniti pelangi
kerana kau tak mau lagi menentang mimpi
dan aku tak pandai menjanjikan fatamorgana
- siksa sungguh rindu

yassinsalleh
Selangor
19 Disember 2008

Tuesday, December 16, 2008

MEMBELAH LAUTAN

bunga bidara megar mengembang
penyerlah hikmat sesida perdana
jika bahtera dilanggar gelombang
musnahlah umat dilanda bencana

bulan terang pagari bintang
kilau ombak nyaman saujana
puaka datang mesti ditentang
jikalau tidak badan merana

lokan dan sinting dalam lautan
jadikan perangsang baulu siam
leburkan gunting dalam lipatan
hapuskan musang berbulu ayam

segantang jamu pengaga hutan
ternama di teluk puteri wulan
pantang jemu menjaga watan
umpama pungguk rindui bulan

pati selasih dan buah kepayang
ditelan dayang meranggah pilu
bukti kasih bertambah sayang
di medan juang siagalah selalu

jambangan seni meruntun tombak
bisa menggetar kabilah di hutan
perjuangan murni sesantun ombak
sentiasalah pintar membelah lautan

Ruhanie Ahmad
Selangor
16 Disember 2008

Monday, December 15, 2008

SELOKA DUKA FATAMORGANA

dari rindu
muncul selembar harapan pilu
memilin kalbu
memintal sayu
suatu bangsa bercanda
di lantai janji semalam
yang sekadar sorak-sorai
seloka duka fatamorgana

maka akan teruskah jua
engkau menghirup bara
sambil menghairahi
berahi cintanya ranjang Hang Li Po
sementara lidahmu yang kelu
masih amat bernafsu
melaungkan ketuananmu
sedangkan tanganmu
tidak lagi menggengam bara
- amanah bangsa
dan kerismu
tidak lagi berani kau kucup
kerana Melayu telah menjadi badut
dalam seloka yang tersembam
di celah peha perbarisan perawan tua

berhentilah kau berkata-kata
duhai sida-sida perkasa
kerana Melayu bangsa kita
sudah cukup azab
memendam nestapa
dari contengan aib
kedayusanmu

yassinsalleh
Selangor
13 Disember 2008

DI PUNCAK GELOMBANG

malam ini
bulan membariskan bintang-bintang
bagaikan nakhoda tempang
membariskan pelautnya
di puncak gelombang

esok harinya
mentari pula membariskan pelangi
bagaikan bendahara durjana
membariskan perawan bogel
di anjung istana

lalu berebutanlah
kau jongos-jongos gila
menagih mimpi
menerpa janji
anugerah sang dewa
bersemayam di atas persada
yang sudah luntur kemuliaannya

demikianlah adanya
kau jongos-jongos
yang bernama Melayu
bagaikan lembu-lembu kasi
yang amat setia berbaris
menabrak janji
meratah mimpi
sementara para dewanya
bermukah di mimbar bihara
dengan kegelojohan
melimpasi batas dan susila

yassinsalleh
Selangor
13 Disember 2008

Sunday, December 14, 2008

PUISI - RASISKAH ITU?

I

Bagaimana kalau,
Si Buang melempar Melayunya,
Sebab Melayu itu Rasis,
Rasis tiada tempat untuk maju,
Bagaimana majunya Amerika,
Obama boleh jadi raja.

Bagaimana kalau,
Si Anu tangguhkan Islamnya,
Tangguh lama-lama,
Sebab Islam itu jumud,
Buruk nanti wajah kita,
Lihat majunya Turki,
Bagaimana Erdogan mengurus takhta.

“Perlu apanya tongkat,
Yang menguntung segelintir cuma,
Pribumi merempat,
Ah long tak dapat menambah gunung,
Hindraft tersekat menambah dewa...
Yang kaya,
Hanya dua tiga kerat pemimpin,
Rakyat jelata merana…”

Bagaimana kalau,
Kita lemparkan tongkat itu,
Kerana keparatnya pemimpin,
Kita janjikan,
Habuan untuk semua,
Siapa kuat dia dapat,
Yang pandai, memimpin,
Yang kaya, berkuasa,
Yang rajin, meraja.
Yang cemburu,
Itu rasis namanya.

Mana dia tuan Melayu
Yang pernah mengilap sepatu orang ?
Kalau ada yang sampai kemudian,
Jangan dibilang pendatang,
Itu Rasis namanya,
Langkah mundur,
Macam katak bawah tempurung.

Bagaimana dengan janji bersama,
Bernaung di bawah payung lama,
Balasan kepada yang memberi dan memberi.. ?

Ahh, Itu semua keputusan lama,
Apa perlu diikat sejarah,
Ia bukan bebanan,
Bagi yang lahir kemudian.

“Lihatlah Obama,
Terpilih bukan kerana kaumnya,
Bukan kerana pendatangnya,
Bukan juga Islamnya,
Tapi wibawa,
Kerana upaya,
Kita pun kena ikut begitu,
Sebab mereka kata begitu..”

Tangguhkan harammu,
Batalkan fatwamu,
Allah dalam Bible Melayu?
Peduli apa..
Banyak yang lebih besar,
Rasuah dua tiga kerat pemimpin,
Yang lain semuanya kecil belaka.

II

Anak babi membuak di jelapang?
Suburkan!
Hormati hak mereka,
Yang menghalang itu rasis,
Lagi besar rasuah dua tiga kerat pemimpin!.

Anak bumi kan dirampas tongkatnya?
Biarkan,
Biarkan ia berenang sendiri dilautan,
Biarkan malas membangunkan tubuh dari tidurnya !!

Bersimpang siur petunjuk pelbagai bahasa,
Apa salahnya ?
Selagi yang “baru datang” merasa syurga,
Yang menghalang itu rasis namanya.

Anakmu yang di ambang murtad,
Biarkan,
Itu hak mereka
Yang menghalang itu buta dunia
Anak muda sudah lain bicaranya..

III

Bangsaku,
Mamah lah daging saudaramu,
Leburkan arash sendimu,
Curahkan air dari tempayan
Sebab di langit nampak harapan,
Bukan rasis atau jumud,
Kelam pada warna,
Sama rata, sama rasa..

Tak kan ditanya lagi apa kaummu,
Tak kan ditanya lagi apa agamamu,
Bersainglah,
Kerna itu yang kau minta,
Termakan umpan,
“Keparat dua tiga pemimpin”,
Kau hilang segalanya,
Lebur dalam kegilaan permainan,
Orang gila,
Yang meruntun kuasa.

Wahai bangsaku,
Bangun dari utopia mu,
Jangan sampai keliru,
Melayu itu jasadmu,
Islam itu jiwamu,
Yang terjalin,
Dalam satu badan,
Yang berpisah tiada.

Usah bermain
Gelari bahaya,
Takhta tak kan kembali lagi
Kehilangan yang akan kau rasa,
Kerna tak pandai kau menguruskan,
Keparat dua tiga pemimpin itu.

Temanku,
Bukankah..
Tuhan tidak akan mengubah
Nasib sesuatu kaum,
Melainkan
Kaum itu yang mengubahnya..
Rasis kah itu ???

Fuad Hassan
Kuala Lumpur
7 Disember 2008

Dipetik daripada
http://dakwat-kertas.blogspot.com/2008/12/puisi-rasiskah-itu.html

PUISI LANDAK

[buat SL Chua]

sungguh tutur katamu
mendiri duri-duriku
roma marah semenanya kauakur itu
telah menjdi semawar hangat
sembarangan kaupoloskan cemburu
tanpa cerna meremang iklim keliling
kini dengarkan tajamku menerkam
genta cabar menerjah gegendang!

Abdul Hadi
Angkatan Penyair Kelantan
12 Disembar 2008

ANAK RUSA NANI

anak rusa nani
lalu kembang ekor
tanah ini milik kami
orang lain mesti akur

bukan arang sebarang arang
arang kayu si pohon kelat
tuan bukan sebarang tuan
tuan Melayu bangsa berdaulat

negaraku laman sentosa
tempat orang datang berkunjung
bahasaku jiwanya bangsa
adat ditimbang Islam dijunjung.

Abdul Hadi
Angkatan Penyair Kelantan
12 Disembar 2008

Thursday, December 11, 2008

KANUN WARISAN

taman ini pusaka bangsa
punya kanun adat susila
tertib sopan jadi warisan
pantang larang jadi batasan

para pedagang datang bertandang
jangan sesekali menghunus pedang
setiap pelaut yang melabuh sauh
usah ghairah mencanang taboh
sesiapa jua menumpang kasih
fahami keajaiban senduduk putih

lembah dan lurah sama dituruni
gunung dan bukit sama didaki
hati gajah sama dilapah
hati kuman sama dicicah

kajang tuan berawan larat
kajang kami berkeris bisa
dagang tuan dagang bersyarat
sedangkan kami pewaris nusa

taman ini pusaka bangsa
punya pewaris pembela nusa
punya sejarah dan warisannya
punya martabat dan kedaulatannya

para pedagang datang bertandang
jangan sesekali berlagak tenggang
setiap pelaut yang melabuh sauh
ketam batu jangan dirempoh
sesiapa jua menumpang kasih
hayati semerbak cempaka putih

sarang tebuan usah dijolok
padi di kepok jangan dirampok
usah kerohkan air di hulu
usah contohi perangai dedalu

terang bulan bayu gemilir
dikala bunian meronda maya
segala perbuatan perlu difikir
sesal kemudian tiada gunanya

taman ini pusaka bangsa
pewarisnya insan amat penyabar
hidup muafakat bersendi iktibar
jangan sesekali mereka dicabar

para pedagang datang bertandang
janganlah melukut di tepi gantang
setiap pelaut yang melabuh sauh
jauhilah perangai si ayam jagoh
sesiapa jua menumpang kasih
ketahuilah rahsia letupan bertih

keris di pinggang jangan disanggah
kadok di junjung jangan dimegah
bintang di langit usah diranggah
bumi dipijak usah diludah

pinang diukir hiasan tembikar
padi dibendang seindah mantera
tenangnya air jangan ditawar
jadi gelombang musnah bahtera

Ruhanie Ahmad
10 Disember 2008

Saturday, December 6, 2008

GEGARAN SUARA PRIBUMI

tiba-tiba saja kau jadi geger
menyalak dan melalak
bagaikan anjing menengking bukit
dari satu kampung ke satu tanjung
dengan kata nista menyayat jiwa
bahawa pribumi bukannya pribumi
bahawa Melayu bukannya Melayu

laju-laju perahu laju
hebat menerjah gelora muara
kalau kau lupa hala dan tuju
akibat musnah citra negara

dikau memang bertaraf saudara
tapi bukannya sedarah sedaging
atas ehsan sesama insan
kau diberikan suatu rahmat
menumpang kasih sepanjang hayat

sesudah kapas menjadi benang
tenunlah kain salinan satria
sejarah lepas mesti dikenang
di situlah kelainan antara kita

jadi kau memang bukannya aku
yang darahnya merah senusantara
yang mengenal keris di mana bisanya
yang mengenal ketupat di mana tautnya
yang mengenal pantun di mana seninya
yang mengenal atap di mana sendinya
yang mengenal midin di mana lazatnya
yang mengenal sejarah dan salasilah
penjajah durjana dan kezalimannya

tenunlah kain salinan satria
corak rerama berenda-renda
di situlah kelainan antara kita
walau bersama kita berbeda

demikianlah hakikat kebenarannya
kau memang bukannya aku
bukan Melayu dan bukan pribumi
yang bijak mentafsir kata pujangga
di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung
dan sentiasa bersetia kepada nusa
demi maruah dan kedaulatannya

corak rerama berenda-renda
pita berlarat hiasan perkasa
walau bersama kita berbeda
kita bertekad damai sentiasa

lantas ikrarkanlah kepada diri
perilakumu mestilah sopan
tutur katamu mestilah santun
supaya pribumi dan juga Melayu
tidak tercabar dan hilang sabar
hingga bangkit menggema suara
hingga bersilat membelah angkasa
bujur lalu melintang patah
pantang sekali menyerah kalah

pita berlarat hiasan perkasa
awan tenunan menyegar maya
kita bertekad damai sentiasa
dengan ketulinan ikrar setia

demikianlah gegarnya suara ini
mencegah ribut dan juga taufan
supaya dikau dan juga aku
tidak tumpas ranap binasa

dikala cerah bayangan mentari
anak kerbau mati tertambat
bala musibah jangan dicari
kelak serantau jadi kiamat

Ruhanie Ahmad
5 Disember 2008

Thursday, December 4, 2008

LEGASI KEHANCURAN

kita satu bendera
kita pelbagai rupa
kita wujud dalam batas-batas prasangka
ada puak mencadong tangan pinta dibela
ada kaum menyambar segala apa di depan mata
pengaruh dicari
kuasa dibeli
bukit ditarah
lembah diredah
rimba dipancah
di mana jua kota dan desa
tanpa siapa menghalang nafsunya

dengan kuasa rasuah
ada pihak jadi gabrah dan gelap mata
jadi kalut dan buntu minda
kerana mahu hidup senang
kerana mahu gendutkan perut
mereka tak peduli sama sekali
jika warisan pusaka bangsanya
punah ranah lingkup tergadai

demi pertiwi tercinta ini
sanggupkah kita berdiam diri
dan biarkan segala-galanya
jadi legasi kehancuran bersama?

Ruhanie Ahmad
31 Ogos 2006