Thursday, September 13, 2007

Kalau Ku Temui Maria
Di Gelanggang Matador

Lima puluh tahun lalu
kota ini tetap sebegitu
bersama tamadun berkurun warisannya
gagah menghirup darah dan air mata pribumiku
lima ratus tahun lalu kita punya si kitol
teman karib Alfonso Alburqaqe
sekadar meratah dan memanggang maruah bangsa kita
bukan satu jenayah
ia hanya legasi baginda queen!!!

Hari inipun masih tiada bezanya
kita punya Hang Nadim berkubukan betis
bukan untuk ditusuk todak dari Temasek
kerana akal fikirnya pintar
pencak silatnya tak pernah sumbang
dan terus berpencaklah dikau Hang Nadim

Di kota ini
aku sekadar mencari jejak
Panglima Hitam yang ditawan Peringi
mungkin di situ ku temui Maria
yang bakal mengajar ku ilmu matador
untuk segera menusukkan lembing jantanku
di pesta Esponia bersama lembu-lembu jantan
terhimpun dalam sorak sorai stadium
agar aku dapat segera menjeritkan
ungkapan seorang anak jantan
dalam teriakan merdeka!!! merdeka!!! merdeka!!!!!!!

Kamal Amir
Kotaraya Madrid
30 Ogos 2007

No comments: