Wednesday, January 28, 2009

PURNAMA LUKA DI GURUN ANARKI

gurun anarki
adalah caturan politik kuasa
bom nuklear bersimpang-siur
umat Palestin mati tersungkur
senjata kimia ditabur-tabur
anak-anak menyembah kubur
keganasan dan kemusnahan
diulang-ulang tanpa halangan
kedurjanaan dan kejahanaman
terus berlaku tanpa tegahan
pembunuhan tiba tanpa berkala
kematian datang tanpa diundang
darah melimpah tanpa bertebing
keadilan cuma mega-mega senja
pembalut sengsara di hujung usia

gurun anarki
adalah wilayah durja penuh nestapa
setan-iblis dajal-boneka puak zionis
berlagak bagaikan singa yang murka
menerpa, menghancur dan membunuh
ikut amalan kanun rimba hutan belentara

di gurun anarki
anak-anak kecil adalah barbie dolls
dicipta dari gumpalan plastik
tanpa ayah, tanpa ibu dan sanak saudara
tanpa daya untuk meraung dan meronta
waktu mereka dimamah senjata pelebur
hingga jasadnya hancur lulur
hingga kepala mereka mendampar pasir
dengan wajah sayu , kaku dan beku
menagih simpati umat manusai seluruh jagat

di gurun anarki
barisan satria tidak jemu angkat senjata
bertempur gigih mempertahankan nusa
sambil sekali sekala merenung angkasa
kerana mereka adalah pungguk desa
yang amat setia menjunjung cinta
dengan jalinan rindu sepanjang usia
terhadap purnama yang parah luka
entah bila terlebur siksanya

di gurun anarki
PBB sepi sekali gema suaranya
OIC amat sumbang derap langkahnya
dewa-dewa kuasa terus menghilai tawa
bermuka-muka, berpura-pura tanpa renti
keadilan terus luruh dan termusnah
kezaliman kian segar dan bercambah
kanun belantara gagal disanggah
patung-patung barbie dibiarkan gelimpangan
pungguk setia terus menanti cinta setia
purnama yang luka kehilangan wajah
dibayangi sengsara gerhana suria

di gurun anarki
hanya kitalah manusia kerdil
yang masih bersuara dan berbicara
yang berani menendang dan menerajang
dengan pena dan tinta
dengan lagu dan irama
dengan puisi dan seloka
dengan komitmen dan kebijaksanaan
dengan simpati dan kesukarelaan
cuba selamatkan purnama luka
cuba membantu pungguk setia
sehingga bumi Palestin bumi keramat
kembali merdeka aman berdaulat

di gurun anarki
bahang panasnya hamparan pasir
bukan kilauan helah fatamorgana
bahang panasnya hamparan pasir
adalah pemangkin bangkitan ummah
bahang panasnya hamparan pasir
adalah bara perjuangan tanpa akhir
bahang panasnya hamparan pasir
menuntut pasrah diri paling abadi
bahang panasnya hamparan pasir
adalah pepohon restu hidayah
kepada Allah sentiasa berserah

Ruhanie Ahmad
22 Januari 2008

[dideklamasikan di malam puisi demimu palestin anjuran kumpulan utusan]

2 comments:

Seladang said...

Dato Ron yang dihormati.

PURNAMA LUKA DI GURUN ANARKI!
Puisi ini amat mengusik hati dan ianya memberangsangkan perjuanganku! Terima kasih dato' kita jumpa di Jenderak Utara Kuala Krau Pahang pada 7hb. Febuari 2009 jam 9.00 malam dalam majlis Baca Puisi Menentang PPSMI - anjuran PKR Bahagian Kuala Krau.

Kita teruskan menentang sehingga PPSMI hancur atau kita berkubur!

panggilan pertiwi said...

Sahabatku Man Kadir,

Jutaan terima kasih. Semoga anda menghayati puisi terbaru saya - menyulah wajah bulan gerhana yang saya dedikasikan kepada rakyat jelata ekoran sarkas Perak.

Salam puisi - Ruhanie Ahmad