Menghitung Mimpi
di malam sepi
ku hitung bingkisan berjuta mimpi
tentang darjat dan pangkat
tentang harta dan kuasa
kerana aku mahu jadi kaya raya
dalam sekelip mata
lantas kerkerawanganlah
kunang-kunang di ruang mata
memancar sinar aneka warna
dengan wajah iblis dan setan
menjelma gilir giliran
dengan gayanya
lenterik-lenterik
halus dan lembut
bagaikan sutera
membalut jiwa yang kerinduan
setan seksi pun membisik madah:
kalau mau jadi kaya dengan sekelip mata
gadaikan saja maruah bangsa
biar kepada siapa jangan dikira
khaznah akan datang melempah ruah
bagaikan panen padi di bendang lembah
iblis genit pula membisik bicara:
bukan susah nak jadi senang
lemparkan saja harga diri ke dalam longkang
gadaikan jiwa dan ragamu
kepada siapa jangan dibilang
pasti bergumpal-gumpal harta datang bertandang
melonjakkan martabat jadi terbilang
sejuta lagi setan seksi
dan berjuta-juta iblis genit
berebut-rebut memberikan petua
untuk jadi kaya raya
dengan sekelip mata
hingga aku jadi bingung dan buntu
dan seluruh mimpi ku layu lesu
digoda nafsu mata keranjang
lantas terlenalah aku
dalam dakapan berjuta mimpi
dan berjuta petua
mahu jadi kaya raya
dalam sekelip mata
ikut versi setan dan iblis
yang amat menyesatkan
di hujung penasaran itu
aku diulit suara merdu
membisikkan nada keramah ke rongga jiwa
dengan penuh kasih dan sayang:
kayakanlah diri dengan keluhuran budi
kayakanlah diri dengan kehalusan bahasa
kayakanlah diri dengan ketulusan jiwa
kayakanlah diri dengan kemurnian peribadi
kayakanlah diri dengan tekad suci
kayakanlah diri dengan pengabdian kepada Illahi
yang maha kaya
maha pemurah
maha pengampun
maha mengerti
maha berkuasa
maka akan kayalah dirimu
dengan limpahan rahmat dan hidayah
serta petunjukNya yang lurus
sepanjang hayat
Ruhanie Ahmad
Country Heights
5 Februari 2008
Tuesday, February 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment