Saturday, December 6, 2008

GEGARAN SUARA PRIBUMI

tiba-tiba saja kau jadi geger
menyalak dan melalak
bagaikan anjing menengking bukit
dari satu kampung ke satu tanjung
dengan kata nista menyayat jiwa
bahawa pribumi bukannya pribumi
bahawa Melayu bukannya Melayu

laju-laju perahu laju
hebat menerjah gelora muara
kalau kau lupa hala dan tuju
akibat musnah citra negara

dikau memang bertaraf saudara
tapi bukannya sedarah sedaging
atas ehsan sesama insan
kau diberikan suatu rahmat
menumpang kasih sepanjang hayat

sesudah kapas menjadi benang
tenunlah kain salinan satria
sejarah lepas mesti dikenang
di situlah kelainan antara kita

jadi kau memang bukannya aku
yang darahnya merah senusantara
yang mengenal keris di mana bisanya
yang mengenal ketupat di mana tautnya
yang mengenal pantun di mana seninya
yang mengenal atap di mana sendinya
yang mengenal midin di mana lazatnya
yang mengenal sejarah dan salasilah
penjajah durjana dan kezalimannya

tenunlah kain salinan satria
corak rerama berenda-renda
di situlah kelainan antara kita
walau bersama kita berbeda

demikianlah hakikat kebenarannya
kau memang bukannya aku
bukan Melayu dan bukan pribumi
yang bijak mentafsir kata pujangga
di mana bumi dipijak
di situ langit dijunjung
dan sentiasa bersetia kepada nusa
demi maruah dan kedaulatannya

corak rerama berenda-renda
pita berlarat hiasan perkasa
walau bersama kita berbeda
kita bertekad damai sentiasa

lantas ikrarkanlah kepada diri
perilakumu mestilah sopan
tutur katamu mestilah santun
supaya pribumi dan juga Melayu
tidak tercabar dan hilang sabar
hingga bangkit menggema suara
hingga bersilat membelah angkasa
bujur lalu melintang patah
pantang sekali menyerah kalah

pita berlarat hiasan perkasa
awan tenunan menyegar maya
kita bertekad damai sentiasa
dengan ketulinan ikrar setia

demikianlah gegarnya suara ini
mencegah ribut dan juga taufan
supaya dikau dan juga aku
tidak tumpas ranap binasa

dikala cerah bayangan mentari
anak kerbau mati tertambat
bala musibah jangan dicari
kelak serantau jadi kiamat

Ruhanie Ahmad
5 Disember 2008

2 comments:

dariana said...

anak rusa nani
lalu kembang ekor
tanah ini milik kami
orang lain mesti akur

bukan arang sebarang arang
arang kayu si pohon kelat
tuan bukan sebarang tuan
tuan melayu bangsa berdaulat

negaraku laman sentosa
tempat orang datang berkunjung
bahasaku jiwanya bangsa
adat ditimbang islam dijunjung.

panggilan pertiwi said...

Saudara Hadi

Anak rusa nani
makan pucukkayu
Malaysia memang milik kami
kelompok insan benama Melayu

salam puisi - Ruhanie Ahmad