Friday, November 7, 2008

PUISI ALIF BA TA

Alif Ba Ta
Pak Alif hati buta
diinang budak mentah
sana-sini jaja titah
hisap darah macam lintah
rakyat nerana makan antah

Alif Ba Ta
Pak Alif disihir puaka
hingga dia jatuh cinta
dengan kera Arjuna Tapa
mas kahwinnya aneka rupa
denai hijau di jantung kota
bumi saujana di hujung benua
sebuah pulau warisan purba

Alif Ba Ta
Pak Alif pengkhianat nusa
disanggah dia kosongkan takhta
biar tanahair yang amat tercinta
tidak morat-maret dihimpit derita
akibat mata hatinya yang buta
terhadap negara dan kedaulatannya
terhadap rakyat dan kesejahteraannya

Alif Ba Ta
Pak Alif kena nista
dengan analisis berjuta kata
dalam sejarah bangsa merdeka
kerana dia punya angkara
kita semua kehilangan nama
kita semua kehilangan wajah

Alif Ba Ta
adalah agama
adalah bangsa
adalah tanahair tercinta
yang mesti dipertahan dan mesti dibela
sepanjang hayat sepanjang masa
hingga ke akhir titisan darah
pantang sekali menyerah kalah

Ruhanie Ahmad
6 November 2008

No comments: