Friday, September 5, 2008

DALAM MASYARAKAT ORANG TELANJANG

apa lagilah yang tinggal
bagi suatu bangsa
yang kehilangan semalamnya?

keris di pinggang
tak lagi diasap harum kemenyan
tak lagi diusap limau langiran
dan setiap kali terhunus
setiap itu pula ia kembali
tersarung tanpa menikam apa-apa!

makanya
di manakah lagi akan tercari
erti semangat besi kursani
erti keramat daulat pertiwi
erti keperwiraan gagah berani
suatu bangsa bernama Melayu
yang asyik menyanyikan lagu si luncai
yang lemas di tasik kedayusan abadi

duhai Melayu
apakah keris lambang kepahlawananmu
kini cuma sekadar alat
persendaan para sida-sida
di pentas erotika bangsa
di mana berkumpul sang bacul
memuja si khianat bertakhta
di mana si bangang dan sang bahlul
bertemasya merayakan ketuanan mereka
sebagai rakyat tolol
yang tanahairnya kian dogol
dan mandul!

duhai Melayu
apabila suatu bangsa
sudah tidak dapat lagi membezakan
antara kebenaran dan kepalsuan
makanya bangsa itu sudah mula
membuangkan pakaian di tubuh
kerana di dalam masyarakat orang telanjang
yang berpakaian dianggap biadap
dan tidak sopan

syabas saudaraku Anwar Ibrahim
kau masih jua seorang wira
yang tidak membuang pakaianmu
dan obor perjuangan masih jua tetap
benderang di tanganmu!

semoga selamatlah engkau
dalam lindungan ALLAH SWT

yassinsalleh
Permatang Pauh
17 Ogos 2008

No comments: