Friday, January 16, 2009

KETUANAN MELAYU MUDAH BINASA

[balasan kedua kepada pantun arca makrifat]


RON:

bendera megah di mega nusa
merias angkasa di Kota Bentan
Perwira gagah menjaga bangsa
tegas perkasa membela watan

SELADANG:

merias angkasa Kota Bentan
ukir kerewang menghisa peran
tegas perkasa menjaga bangsa
Jangan wang jadi ukuran

BULAN:

ukir kerewang menghias peran
diri tersadai dek bahasa kurang
jangan wang jadi ukuran
negeri tergadai bangsa terbuang

RON:

tumbuk padi di Langkapura
untuk hidangan si hulubalang
tunduk padi tunduk perwira
tunduk lalang jadi petualang

SELADANG:

untuk hidangan si hulubalang
nasi pemimpin dibiar dingin
tunduk lalang jadi petualang
lenggok perimpin mengikut angin

BULAN:

nasi pemimpin dibiar dingin
sejuk berhari mungkin melarat
lenggok perimpin mengikut angin
petunjuk diri dah makin keparat

RON:

kerewang lilin dibelah bujur
gangsa dipangsa dengan teliti
pejuang tulin mestilah jujur
nusa bangsa jangan khianati

SELADANG:
gangsa dipangsa dengan teliti
alas tersadai di pinggir kali
nusa bangsa jangan klhianati
pulau tergadai tebuslah kembali

BULAN:

alas tersadai di pinggir kali
Datuk Kalimatan timbalan menteri
pulau tergadai tebuslah kembali
untuk keselamatan anak negeri

RON:

Kuala Bidara gugusan jati
sendi penarik Pekan Sedili
Kala bicara luruskan hati
jadi munafik jangan sekali

SELADANG:

Sendi penarik Pekan Sedili
pinggir sawah berdepan paya
Jadi munafik jangan sekali
penerima rasuah hina tarafnya

BULAN:

pinggir sawah berdepan paya
meniti parit pesan melati
penerima rasuah hina tarafnya
pasti perit balasan menanti

RON:

Kuala Kelawang pekan rawa
bumi rahmnat di ceruk maya
bila berjuang putihkan mata
resmi khianat buruk adanya

SELADANG:

bumi rahmat di ceruk maya
panglima perkasa berbaju suasa
resmi khianat buruk adanya
merosak bahasa meruntuhkan bangsa

BULAN:

panglima perkasa berbaju suasa
tenunan mas ayu indah sentiasa
merosak bahasa runtuhkan bangsa
ketuanan Melayu mudah binasa

RON:

Teluk Datuk Teluk Pandan
memilir wangi kasa baiduri
tumbok rusuk meremok badan
mungkir janji membinasa diri

SELADANG:

memilir wangi kasa baiduri
susun pingan dalam baldi
mungkir janji membinasa diri
jari tangan penentu undi

BULAN:

cari pingan menantu sahadi
penat tak larat gelabah kami
jari tangan penentu undi
laknat keparat rebah ke bumi

RON:

gelora ombak meniti hikmah
memancar kilat arca makrifat
cara bertindak mesti berhemah
biar selamat dunia akhirat

SELADANG:

memancar kilat arca makrifat
mendung angkasa petir memanah
biar selamat dunia akhirat
bila berkuasa tunaikan amanah

BULAN:

mendung angkasa petir memanah
meluru silang selang menyelang
bila berkuasa tunaikan amanah
baru cermelang gilang gemilang

RON:

Pulau Pengail merajang mata
dengan kilau geliga Andalas
jikalau kail panjang sehasta
jangan kau duga segara luas

SELADANG:

dengan kilau geliga Andalas
burung bersarang di batu bata
jangan kau duga segara luas
jerung bersarang mengumpul harta

BULAN:

burung bersarang di batu bata
jualan gelang desa sawasta
jerung bersarang mengumpul harta
amalan hilang dek kuasa bertahta

RON:

Bangka Laut puja-pujaan
diserlah lurut kemboja utan
jika dianut kepura-puraan
jadilah badot pemuja setan

SELEDANG:

diserlah lurut kemboja utan,
selagi usia dapat bertahan
jadilah badot pemuja setan
mendewakan manusia melebihi Tuhan

BULAN:

selagi usia dapat bertahan
benda merusok jantung saitan
mendewakan manusia lebihi Tuhan
tanda nak masuk Tanjong Rambutan

RON:

Kuala Balah kota sejarah
ukiran batu penangkal budi
Kepada Allah kita berserah
pohonkan restu kekal abadi

SELADANG:

ukiran batu penangkal budi
ditumbuk lumat selepas dibelah
pohonkan restu kekal abadi
menjadi umat dilindungi Allah

BULAN:

ditumbuk lumat lepas dibelah
milik dia miskipun bersarat
menjadi umat dilindungi Allah
baik di dunia mahupun akhirat

Kiriman BULAN
2 Januari 2009

1 comment:

  1. Dato Ron yang dihurmati.

    Kon nak jawab satu persatu pantun BULAN dalam KETUANAN MELAYU MUDAH BINASA:

    Ikut urutan satu persatu lepas pantun BULAN:

    1) CUCU TOK KEDU
    Diri tersadai dek bahasa kurang,
    Pandai bercakap bersama teman;
    Negeri tergadai bangsa terbuang,
    Islam tetap ke akhir zaman.

    2) CUCU TOK KEDU
    Sejok berhari mungkin melarat,
    Curah cuka bercampur dakwat;
    Petunjuk diri dah makin keparat,
    Taubat terbuka jangan terlewat.

    3) CUCU TOK KEDU
    Datuk Kalimantan Timbalan Menteri,
    Sebagai rakan ke sana ke sini;
    Untuk keselamatan anak negeri,
    Jangan mewahkan isteri dan kroni.

    4) CUCU TOK KEDU
    Meniti parit kesan melati,
    Mengada-ngada asyik bergumul;
    Pasti perit balasan menanti,
    Kembali pada Islam yang syumul.

    5) CUCU TOK KEDU
    Tenunan Mas Ayu indah sentiasa,
    Dari selemba berhari-hari;
    Ketuanan Melayu mudah binasa,
    Melayu dihamba bangsa sendiri.

    6) CUCU TOK KEDU
    Penat tak larat gelabah kami,
    Semakin lelah debar peparu;
    Laknat keparat rebah ke bumi,
    Terbangunlah era Harapan Baru.

    7) CUCU TOK KEDU
    Meluru silang selang menyelang,
    Sambil meludah di kain basah;
    Baru cemerlang gilang gemilang,
    Pemimpin bermadah rakyat susah.

    8) CUCU TOK KEDU
    Jualan gelang desa sewasta,
    Gelang emas rangkai sehasta;
    Amalan hilang dek kuasa bertahta,
    Iman lemas dek nafsu berharta.

    9) CUCU TOK KEDU
    Benda menusuk jantung saitan,
    Duduk melukah di dalam kepok;
    Tanda nak masuk Tanjung Rambutan,
    Nak kekalkah lagi di kerusi empok?

    10) CUCU TOK KEDU
    Milik dia meski pun bersyarat,
    Sebagai penentu Adam dan Hawa;
    Baik di dunia mahu pun di Akhirat,
    Allah yang satu tempat bertakwa!

    CUCU TOK KEDU

    http://rp-semantan.blogspot.com

    ReplyDelete